Monday, April 12, 2010

Sambal ikan bilis (nasi lemak)


Bahan-bahan

Ikan bilis
Bawang merah, bawang putih, cili api (bagi penggemar masakan pedas) – ditumbuk
Bawang besar - dimayang
Cili kering yang siap dikisar
Sos cili
Garam secukup rasa (tidak mahu letak pun, tidak apa – sos dan ikan bilis sudah terasa masin)
Gula secukup rasa (tidak mahu letak pun tidak apa – letak untuk kurangkan kepedasan)

Cara membuatnya

1- Goreng ikan bilis dengan minyak panas. Siap… letakkan ke tepi.

2- Tumis bahan siap ditumbuk dengan bawang besar sehingga naik bau.

3- Masukkan cili kering, sos cili, garam serta gula. Kalau hendak berkuah, letakkan sedikit air. Dan… siap.

Muthiah : Kadar kolesterol pada masakan nasi lemak agak tinggi. Jadi, elakkan daripada memilih nasi lemak sebagai menu utama setiap hari. Kadang-kadang, OK :)

Monday, April 5, 2010

Nasi Lemak (nasi)


Bahan-bahan

Beras
Bawang merah – dihiris
Sedikit minyak (boleh juga guna mentega)
Sedikit garam
Kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih
Biasanya, orang guna santan. Namun, Muthiah selalu buat nasi lemak tanpa santan.

Cara membuatnya


1- Basuh beras dan letakkan air secukupnya. Kemudian, panaskan di atas dapur/ rice cooker.

2- Dalam masa yang sama, masukkan bahan-bahan di atas sekaligus.

Bagi yang hendak guna santan, boleh ganti air pada arahan (1) tadi dengan santan. Sedap… berlemak tetapi tidak cukup baik untuk kesihatan.

Lain-lain

1- Telur rebus – dibelah 2 atau 4

2- Timun batang – dipotong serong

Durasi penyediaan– 15 – 20 minit (termasuk penyediaan sambal ikan bilis)

Muthiah : Kadang-kadang, Muthiah bekalkan suami dengan nasi lemak. Maklumlah, penyediaannya mudah.

Monday, March 29, 2010

Sup ayam (Nasi ayam)


Assalammualaikum. Hmmm… baru-baru ini, Muthiah ada berkongsi resipi sup kosong, bukan? Insya-Allah, kali ini kita ‘upgrade’ sup berkenaan. Alhamdulillah, suami suka. Siap cadang buka kedai lagi ;)

Bahan-bahan

Air rebusan bersama-sama dengan ayam yang sudah dipotong kecil. Sewaktu merebus, bolehlah letak sup bunjut serta ubi kentang terus.
Bawang putih, bawang merah, halia – dihiris halus.
Tomato – dibelah 4
Cili merah – dipotong serong
Garam secukup rasa
Lada sulah (kalau tidak mahu letak pun, OK)
Daun sup dan daun bawang

Cara membuatnya

1- Masukkan bawang yang sudah dihiris ke dalam air rebusan ayam (tidak perlu letak minyak).

2- Setelah menggelegak, masukkan tomato, cili merah, lada sulah serta garam. Tunggu seketika.

3- Kemudian, bolehlah angkat dan taburkan daun sup serta daun bawang di atasnya. Kalau hendak sedap lagi, taburkan juga bawang goreng. Siap…

Muthiah : Mudah, bukan?

Monday, March 22, 2010

Ayam goreng (nasi ayam)



Bahan-bahan

Ayam yang siap direbus - ditos
Bawang putih, halia, garam, lada hitam - ditumbuk (jangan lumat sangat)
Sos tiram (boleh juga hendak tambah kicap)


Cara membuatnya

1- Gaul ayam dengan semua bahan di atas. Perap seketika (makin lama, makin sodap).

2- Goreng dengan api sederhana. Dan... Siap....

Oleh sebab ayam sudah masak, tidak perlu goreng garing sangat... Lagi, boleh letak kicap cair atas ayam yang siap digoreng (Muthiah tidak letak sebab suami tidak suka kicap cair).

Tambahan

Hias nasi ayam dengan salad, tomato dan timun.

Muthiah : Suke.. suke...

Monday, March 15, 2010

Sambal (nasi ayam)


Bahan-bahan

1-2 tangkai cili merah
Bawang putih
1 hiris halia (sedikit maaa)
Cuka
Gula

Cara membuatnya

1- Tumbuk/ blender cili merah bersama dengan bawang putih dan halia

2- Kemudian, masukkan cuka dan gula... Siap...

Muthiah : Hmmm... Insya-Allah, petang ini iftar dengan nasi ayam.

Monday, March 8, 2010

Sup kosong (nasi ayam)


Hmmm... ini...yang betul-betul kosong punya sup. Kalau hendak buat yang beria, lain kali Muthiah kongsi, insya-Allah.

Bahan-bahan

Air rebusan ayam
Bawang putih, bawang merah, halia - dihiris
Lada sulah
Garam secukup rasa

Cara membuatnya

1- Masukkan semua bahan di atas ke dalam air rebusan ayam. Dan... siap...

Kalau hendak nampak menarik... letakkan sekali daun sup, daun bawang dan cili.


Muthiah : Selamat mencuba.

Monday, March 1, 2010

Nasi Ayam (nasi)


Hmmmm... salah satu resipi yang mudah dibuat. Jom cuba. Muthiah buat...suami suka..hehe..Alhamdulillah.

Bahan-bahan

Beras
Air rebusan ayam
Bawang merah, bawang putih, halia - dihiris nipis
Bunga cengkih, kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga (A)
Garam sedikit

Cara membuatnya

1- Tumis bawang serta bahan (A) dengan mentega sampai naik bau.

2- Masukkan air rebusan ayam ke dalam beras yang siap dibersihkan. Kemudian, tunggu sebentar (biar sejuk sedikit). Seterusnya, bolehlah letak di atas dapur. Bagi yang guna rice cooker, on ajaaaa...

3- Selepas itu, masukkan bahan-bahan yang siap ditumis bersama sedikit garam.

Muthiah : Ada juga cara lain untuk buat nasi ayam tetapi buat masa ini, Muthiah kongsi cara ini, ya :)