Friday, December 31, 2010

Ikan masak kuning


Bahan-bahan

Ikan kembung - dibersihkan
Bawang merah, bawang putih, lengkuas, bawang besar, kunyit hidup - dikisar
Santan
Garam dan gula
Asam keping
Timun dipotong


Cara membuatnya

1- Masukkan bahan dikisar di dalam periuk.

2- Masukkan santan sekali

3- Apabila menggelegak sedikit, masukkan ikan, garam, gula dan asam keping.

4- Akhir sekali, masukkan timun. Siap.

Muthiah : Rasanya, orang tua suka makan.

Monday, December 27, 2010

Puding telur


Bahan-bahan

2 sudu gula
1 tin susu cair
2-3 sudu susu pekat (kalau hendak makin manis, letaklah lebih banyak)
6-8 biji telur
2-3 isen vanilla

** Semua bahan di atas kecuali gula dicampur sekali dan dikacau sampai sebati. Mula-mula, pukul telur. Kemudian, masukkan bahan-bahan lain.

Cara membuatnya

1- Panaskan gula di dalam loyang sehingga/ hangus @ keperangan.

2- Kemudian, adunan di atas ** dimasukkan di dalam loyang (gula hangus tadi). Panaskan dengan api sederhana/ kecil. Siap….

Muthiah : Sedap dimakan apabila sejuk.

Monday, December 20, 2010

Kueh teow ladna


Pertama kali menyediakan kueh teow ladna. Hmmm… rasanya, bolehlah cuma kuahnya terkurang. Apa pun, tetap licin. Insya-Allah, selepas ini Muthiah akan cuba buat lagi sampai rasa macam di kedai.

Bahan-bahan


Kueh teow – dibersihkan, direndam dengan air suam.
Bawang putih, bawang merah, lada hitam – ditumbuk
Ayam – dipotong halus
Sotong, udang
Lobak merah– dipotong dadu
Sawi, cili merah, putik jagung – dipotong
Tepung jagung – campur dengan sedikit air
Sos tiram, sos tomato
Telur – pecahkan di dalam mangkuk dan kacau
Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya

1- Tumis bahan ditumbuk sehingga naik bau.

2- Masukkan ayam, sotong dan udang.

3- Selepas itu, masukkan pula sos tiram, sos tomato, garam dan gula (Muthiah ikut resipi mami yang masukkan garam dan gula sewaktu masukkan bahan-bahan perasa). Masukkan pula air bersama dengan lobak merah.

4- Kemudian, masukkan sayur-sayuran lain. Setelah berapa ketika, masukkan tepung jagung yang sudah dicampur dengan air.

5- Akhir sekali, masukkan telur. Kacau sampai rata.

6- Setelah siap, cuah di atas kueh teow yang siap ditos.


Muthiah : Insya-Allah, selepas ini, hendak buat mee hailam pula ;)

Monday, December 13, 2010

Ikan pekasam goreng



Hendak menggoreng ikan pekasam, ada caranya. Kalau goreng kosong, tidak jadi masalah tetapi…

Bahan-bahan

Ikan pekasam
Bawang merah, bawang besar – dihiris
Cili merah/ hijau – dipotong
Limau nipis

Cara membuatnya

1- Goreng ikan pekasam dengan api sederhana.

2- Kemudian, masukkan bawang, cili serta perah limau nipis di atasnya.

Muthiah : Nyum nyum…

Monday, December 6, 2010

Cocktail


Hmmm…pembasah mulut yang mudah dibuat tetapi cukup menyelerekan.

Bahan-bahan

Buah-buahan campuran
1 tin susu cair
1 sudu gula (tidak letak pun tidak apa)

Cara membuatnya

Campurkan bahan di atas. Kemudian, simpan di dalam peti sejuk. Sedap dan…. MUDAH!

Muthiah : Kegemaran suami…juga Muthiah.

Monday, November 29, 2010

Ayam percik


Bahan-bahan

Beberapa potong ayam - gaul dengan kunyit dan garam - dibakar

Bahan-bahan diblender

Beberapa ulas bawang merah - lagi banyak lagi sedap
Lengkuas
Halia
Cili kering (sebelum itu, rebus dahulu)

Bahan-bahan lain (percik)

Santan
Garam
Gula
Asam keping
Serai ditumbuk (bukan sampai lumat)

Cara membuatnya

1- Ayam yang siap dibakar diletak ke tepi.

2- Masukkan bahan dikisar di dalam kuali. Kalau hendak letak minyak, boleh juga tetapi Muthiah biasa tidak letak.

3- Masukkan santan, garam, gula, serai serta asam keping. Siap...

Mudah, bukan?

Muthiah : Dapat resipi daripada Mama.

Monday, November 22, 2010

Sandwich


Bahan-bahan

Roti
Telur
Bawang besar (kuning), bawang merah, tomato, timun, kubis - dihiris (kalau hendak guna salad pun O.K.)
Mentega
Mayonis
Sos cili
Sos lada hitam

Cara membuatnya

1- Goreng telur.

2- Sapu roti dengan mentega. Kemudian, letak bahan-bahan dihiris. Selepas itu, letak pula sos cili, sos lada hitam dan mayonis.

3- Sudah siap, letak telur pula.

4- Perkara (2) diulang. Siap... sedap....

Muthiah : Menu ekspres bersama suami ;)

Monday, November 15, 2010

Cucur ikan bilis


Bahan-bahan

1 cawan tepung gandum
Ikan bilis
Bawang merah, bawang besar - dihiris
Garam (tidak letak pun tidak apa)
Taugeh
1 biji telur
Lobak yang dipotong kecil
Cili api

Cara membuatnya

1- Campur semua bahan di atas. Masukkan sedikit air masak.

2- Goreng....

Muthiah : Mudah, bukan?

Monday, November 8, 2010

Agar-agar rose


Bahan-bahan

1 paket agar-agar
gula
Rose sirap
Natalie coco

Cara membuatnya

1- Rebus agar-agar sehingga hancur.

2- Masukkan gula sampai hancur.

3- Masukkan rose sirap dan natalie coco. Hmmm...

Muthiah : Resipi agar-agar mudah. Orang Terengganu kata, 'belda bodo'...

Monday, November 1, 2010

Mee Sup (Mudah)


Bahan-bahan

1 paket mee kuning - dibasuh
Bawang merah, bawang putih, bawang besar , halia – dihiris
Ayam – dipotong kecil (Kalau hendak letak udang, sotong, fishball pun boleh)
Ubi kentang – dipotong dadu
1 paket sup bunjut
Sawi, tomato, lobak merah - dipotong
Daun sup, daun bawang – dipotong
Bawang goreng – goreng bawang merah yang siap dihiris sehingga kekuningan (ala-ala hendak hitam)
2 biji telur
Garam secukup rasa

Cara membuatnya


1- Rendam mee kuning dengan air panas. Ketepikan.

2- Tumis bahan dihiris sehingga naik bau.

3- Masukkan air bersama dengan ayam dan ubi kentang serta sup bunjut.

4- Setelah mendidih masukkan garam, lobak, sawi dan tomato. Kemudian, pecahkan telur ke dalam periuk yang siap mendidih itu. Dan … siap. Taburkan dengan daun sup, daun bawang serta bawang goreng.

Muthiah : Boleh makan dengan sambal kicap.

Monday, October 25, 2010

Ikan tongkol masak merah


Bahan-bahan

2 ekor ikan tongkol
Manisan
Bawang merah, bawang putih, sedikit halia – ditumbuk (lagi banyak bawang merah, lagi sedap)
Bawang besar/kuning - dimayang
Cili kering - dikisar/ cili sos
2 keping asam gelugur/ keping
Gula
Garam

Cara membuatnya

1- Rebus ikan dengan manisan. Masukkan sedikit garam. Kemudian, letakkan di tepi.

2- Goreng ikan tadi dengan minyak panas. Ketepikan.

3- Tumis bawang sehingga naik bau.

4- Masukkan cili kering serta sos cili dengan sedikit air.

5- Masukkan garam, gula dan asam keping. Siap…

Muthiah : Suka menu ini ;)

Monday, October 18, 2010

Bihun kosong


Bahan-bahan

Bihun – direndam (elakkan rendam dengan air panas)
Bawang merah, bawang putih, halia, ikan bilis, lada hitam, cili api – ditumbuk
Ayam – dipotong kecil
Sawi, taugeh, lada merah - dipotong
Sos tiram
Garam secukup rasa

(Menu tidak guna lada kering yang dikisar)

Cara membuatnya

1- Tumis bahan ditumbuk sehingga naik bau.

2- Masukkan ayam. Kemudian, masukkan pula sos tiram dan garam. Masukkan sedikit air juga.

3- Setelah menggelegak, masukkan bihun dan sayur-sayuran. Dan … siap. Boleh makan dengan sambil kicap atau sambal ikan bilis.


Muthiah : Masak menu ini apabila cili kering sudah habis. Hehe…

Monday, October 11, 2010

Ayam masak ubi kentang


Bahan-bahan

Ayam – dipotong
Ubi kentang – dihiris nipis
Bawang merah, bawang putih, bawang besar, halia – dihiris
Cili merah – dihiris
Kicap
Garam secukup rasa

Cara membuatnya


1- Goreng ayam dan ubi kentang secara berasingan. Kemudian, ketepikan.

2- Tumis bawang sehingga naik bau. Lagi banyak bawang, lagi sedap.

3- Masukkan ayam, kicap dan sedikit garam (kalau tidak letak garam lagi baik). Akhir sekali, masukkan ubi kentang yang siap digoreng tadi serta cili merah. Dan… siap…

Muthiah : Menu mudah yang bisa membangkit selera.

Monday, October 4, 2010

Ikan masak lemak kuning


Bahan-bahan

Ikan kembung
Bawang merah, bawang putih, bawang besar, lengkuas, kunyit - dikisar
Santan
Asam keping
Garam secukup rasa
Timun batang

Cara membuatnya

1- Masukkan bahan dikisar di dalam periuk.

2- Kemudian, masukkan santan... garam, ikan, timun, asam keping dan garam secukup rasa. Dan... siap...

Muthiah : Bset juga kalau makan waktu lapar. Hahaha...

Monday, September 27, 2010

Ayam masak merah


Bahan-bahan

Ayam - dipotong dan digaul dengan kunyit serta garam

Bawang merah, bawang putih, halia - ditumbuk/ dikisar
Bawang besar/ kuning - dimayang
Cili kering - dikisar
Sos cili
Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya

1- Goreng ayam dahulu. Kemudian letakkan di tepi.

2- Tumis bawang sehingga naik bauk. Kemudian, masukkan cili kering, sos cili, gula dan garam sekaligus.

3- Masak biar lama. Dan... siap...

** Kalau tidak mahu guna cili sos, boleh letak air asam jawa.

Muthiah : Makanan kegemaran masa kecil-kecil dahulu...

Monday, September 20, 2010

Bayam masak lemak


Bahan-bahan

1 ikat bayam merah
Bawang putih, bawang besar, bawang merah - dihiris
Fishball
Lobak - dipotong
Tomato - dipotong
Santan
Garam secukup rasa

Caram membuatnya

1- Masukkan santan di dalam periuk dan diikuti dengan dengan bawang yang dihiris.

2- Kemudian, masukkan fishball dan garam.

3- Selepas itu, masukkan sayur. Tomato masuk akhir sekali. Dan... siap...

** Kalau hendak letak lada hitam pun boleh. Bagi yang hendak letak ikan bilis, bawang hendaklah ditumbuk dengan ikan bilis. Kiranya, ada dua cara yang berbeda...

Muthiah : Agak lemah masak makanan bersantan tetapi cuba dan terus cuba. Insya-Allah, practice will make perfect :)

Monday, September 13, 2010

Ayam masak rempah


Bahan-bahan

Ayam - dipotong (ada mak cik cakap, basuh dengan cuka sedikit untuk menjadikan lebih sedap tetapi Muthiah tidak cuba lagi).
Bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit - diblender
Serai - diketuk
Daun kari
Rempah kari

Cara membuatnya

1- Ayam yang siap dibersihkan digaul dengan bahan diblender serta serbuk kari. Kemudian, tambahkan garam secukup rasa.

2- Dan... gorenglah dengan minyak banyak. Masukkan serai dan daun kari sekali.

Muthiah : Sebenarnya, yang Muthiah buat ini tidak cukup alat tapi O.K. lah...

Monday, September 6, 2010

Udang masak pedas


Bahan-bahan

Udang - dibuang kepala dan tidak buang kulit
Bawang merah, bawang putih, cili api - ditumbuk
Bawang kuning - dimayang
Cili kering - dikisar
Sos cili (tidak letak pun tidak apa tetapi kena letak asam jawa/ asam keping)
Petai
Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya

1- Goreng udang dengan minyak sedikit. Ketepikan.

2- Tumis bawang sehingga naik bau.

3- Masukkan cili kering, sos cili, garam dan gula secukup rasa.

4- Masukkan udang dan petai. Siap...

Muthiah : Kalau hendak pedas, letak banyak cili api. Kalau hendak campur halia pun O.K. juga ;)

Monday, August 30, 2010

Bendi goreng telur


Bahan-bahan

Bendi - dipotong serong
Lobak merah - dipotong
Bawang putih, bawang besar, bawang merah - dihiris
Cili merah - dipotong serong
1 biji telur
Garam secukup rasa

Cara membuatnya

1- Tumis bwang sehingga naik bau.

2- Masukkan bendi, lobak merah dan cili merah.

3- Masukkan garam dan telur. Tunggu sehingga separuh masak, baru kacau. Dan... siap...

Muthiah : Pertama kali buat, suami suka ;)

Monday, August 23, 2010

Kueh Teow Goreng (Mudah)


Bahan-bahan

Kueh teow
Bawang putih, bawang merah, cili api, ikan bilis (sedikit sahaja) - ditumbuk
Ayam, fishball, udang, daging, kerang - pilihlah yang mana ada/ suka
Sos cili, cili kering dikisar, sos tiram (tidak letak pun tidak apa), kicap
Sawi, tomato, taugeh, kubis - pilihlah ya ;)
Sedikit garam

Cara membuatnya

1- Tumis bahan ditumbuk sehingga naik bau.

2- Masukkan bahan basah seperti ayam (dll).

3- Masukkan aneka sos serta garam secukup rasa.

4- Masukkan kueh teow sekali dengan sayur.

5- Kalau hendak letak kicap, masukkan kicap :)

Siap...

Muthiah : Huhaha...

Monday, August 16, 2010

Ikan bawal masak asam pedas tempoyak


Hehe… Tidak pernah dibuat tetapi apabila pertama kali membuat… sedap dan menyelerakan. Cuba jangan tidak cuba ;)

Bahan-bahan

1 ekor ikan bawal –siap disiang
Bawang putih (2-3ulas), bawang merah (3-4ulas), lengkuas, kunyit, lada kering (3-4 biji) – dikisar
Garam dan gula secukup rasa
Daun kesum
Tempoyak
Asam keping

Cara membuatnya

1- Tumis bahan dikisar sehingga naik bau.

2- Masukkan garam dan gula secukupnya.

3- Masukkan ikan bawal dan tutup dengan tudung kuali.

4- Masukkan daun kesum, asam keping dan tempoyak. Sedappp…

Muthiah : Another new favourite menu.

** Orang buat masak asam pedas letak air banyak dan tidak guna ikan bawal tetapi kali ini, asam pedas tempoyak, Muthiah cuba guna ikan bawal. Sedap…suami pun menambah dua kali.

Monday, August 9, 2010

Ayam masak kurma (mudah)


Astaghfirullah. Muthiah tertidur sehingga jam 6.45 petang. Makan malam belum disediakan lagi dan jadual makan adalah sebelum jam 8.00. Ayuh… Kita masak ekspres ;)

Bahan-bahan

Beberapa ketul ayam
Bawang putih, bawang merah, bawang besar, halia – dihiris
Rempah masak kurma
Santan
Ubi kentang
Garam secukup rasa

Cara membuatnya

1- Tumis bahan dihiris sehingga naik bau.

2- Masukkan rempah masak kurma dan kacau sehingga sedikit garing.

3- Masukkan sedikit air.

4- Masukkan ayam dan ubi kentang.

5- Masukkan garam secukup rasa. Dan… siap.

Muthiah : Ayam masak kurma hari ini tidak menepati citarasa Muthiah tetapi O.K. bagi suami. Insya-Allah, nanti tidak mahu lagi masak ekspres…

Monday, August 2, 2010

Buncis goreng (lada hitam)


Bahan-bahan

Kacang buncis – dipotong serong
Bawang merah, bawang putih, sedikit ikan bilis, lada hitam – ditumbuk
Tomato – dibelah 6
Lada merah – dipotong serong

Cara membuatnya

1- Tumis bahan ditumbuk sehingga naik bau.

2- Masukkan kacang buncis.

3- Masukkan garam secukup rasa. (masukkan sedikit sahaja kerana ikan bilis sebenarnya sudah terasa masinnya).

4- Masukkan tomato dan cili merah. Siap…

Muthiah : Lebih gemar buncis goreng telur.

Monday, July 26, 2010

Nasi goreng Simpang (ayam merah)

Bahan-bahan

(A) Nasi goreng

Nasi putih
Bawang merah, bawang putih – ditumbuk
Kacang panjang, lobak merah, cili merah – dipotong
Sos tiram
Sedikit garam

(B) Ayam merah

Ayam dipotong kecil-kecil
Bawang putih, bawang merah, bawang besar, halia – dihiris
Sos cili, sos tiram, sos tomato

Cara membuatnya

(A) Nasi goreng


1- Tumis bawang sehingga naik bau. Kalau ada mentega, tumislah dengan mentega.

2- Masukkan sos tiram dan sedikit garam.

3- Masukkan sayur-sayuran.

4- Masukkan nasi dan siap…

(B) Ayam merah

1- Tumis bahan dihiris sehingga naik bau.

2- Masukkan sos tiram, sos cili dan sos tomato. Juga sedikit air.

3- Masukkan ayam yang telah dipotong. Dan… siap.

Muthiah : Sebenarnya, untuk menu daging merah tetapi dagingnya tiada. Hahaha…

*** Hahaha… sebenarnya, Muthiah hendak masak kangkung goreng serta ayam masak kurma. Tup tup terbangun lewat. Jadi, tukar menu serta-merta. Jangan marah ;)

Monday, July 19, 2010

Nasi goreng kampung


Bahan-bahan

Nasi putih
Ikan bilis
Bawang putih, bawang merah, cili api (hendak pedas, letaklah banyak sedikit)belacan - ditumbuk
Kangkung, lobak merah
Cili kering - dikisar
Sos cili
Sos tiram (tidak letak pun tidak apa)
Garam secukup rasa

Cara membuatnya

1- Goreng ikan bilis - letakkan di tepi.

2- Tumis bahan ditumbuk sehingga naik bau.

3- Masukkan cili kering, sos cili, sos tiram dan sedikit garam.

4- Masukkan kangkung dan lobak.

5- Masukkan nasi putih dan siap.... Kalau hendak letak kicap pun, boleh.

Muthiah : Suka nasi goreng kampung ;)

** Hmmm... nampak tidak meriah pula nasi goreng dalam gambar. Sebenarnya, kangkung dan ikan bilis dan bla bla sudah dimasukkan ke dalam bekas (bekal suami ke tempat kijo...)

Monday, July 12, 2010

Bihun sup


Bahan-bahan

(A) Bihun

Bihun – direndam dahulu

(B) Kuah bihun @ sup

Bawang merah, bawang putih, halia (dihiris nipis)
Ayam, fishball, fishcake (dipotong) – kalau hendak letak udang dan sotong pun boleh
Ubi kentang (dipotong 4)
Sawi, lobak, kubis bunga, tomato – boleh juga letak sayur yang bersesuaian … cendawan contohnya
Sup bunjut – kalau tidak letak pun tidak apa. Kiranya, macam sup kosong yang tidak terasa kosong :)
Garam secukup rasa

Cara membuatnya

1- Untuk penyediaan bihun, rendamkan dengan air panas apabila agak-agak sup sudah siap/ sudah hampir hendak makan. Takut, kembang pula nanti.

2- Tumis bawang merah, bawang putih dan halia sehingga naik bau. Kemudian, masukkan air.

3- Selepas itu, masukkan ayam serta ubi kentang. (Bagi yang hendak guna sup bunjut, masukkan sup bunjut sekali).

4- Agak-agak hampir menggelegak, masukkan fishball dan fishcake. Setelah menggelegak, masukkan sayur-sayuran. Kemudian, masukkan garam secukup rasa. Dan… siap …

5- Boleh hias dengan bawang goreng, daun sup dan daun bawang. Di samping itu, boleh hiris cili api dan letakkan di dalam kicap (ada juga yang letak sedikit cuka dalam kicap [Peringatan! : Jangan amalkan begini selalu… tidak elok untuk kesihatan].

Muthiah : Alhamdulillah… suami puas hati. Nampak simple, bukan? Sedap maaa… ikutkan, hari-hari ‘dia’ hendak makan bihun sup tetapi… huhu… bosan maaa…

Monday, July 5, 2010

Cendawan celup tepung



Takut suami bosan makan sup cendawan dan cendawan goreng biasa, Muthiah cuba buat cendawan celup tepung. Hmmm..boleh tahan tetapi Muthiah rasa lebih sesuai guna cendawan tiram.

Bahan-bahan

1 paket cendawan
1 biji telur
Sedikit tepung jagung
Sedikit tepung gandum
Garam secukup rasa
(Kalau hendak pedas, letaklah lada hitam)

Cara membuatnya

1- Pecahkan telur dan pukul dalam mangkuk. Selepas itu, letakkan sedikit garam.

2- Gaul tepung jagung dengan tepung gandum. Kemudian, masukkan ke dalam telur.

3- Selepas itu, cendawan yang siap dibasuh dan ditos dimasukkan ke dalam bahan di atas (yang siap dicampur). Tunggu seketika dan goreng dengan minyak panas.

Muthiah : Suka makan cendawan, pucuk paku dan kangkung.

Monday, June 28, 2010

Nasi goreng sardin


Siapa kata memasak adalah perkara yang merumitkan? Benar... ada menu yang agak rumit dan komplikated tetapi ada juga yang mudah dibuat.

Bahan-bahan

Nasi putih
Bawang merah, bawang putih dan cili api - ditumbuk
Sardin - ditumbuk tidak lumat (hendak tumbuk sekali dengan bawang pun tidak jadi masalah)
Cili kering - dikisar
Sos cili
Lobak, kacang buncis - dipotong dadu
Garam
(Boleh juga kalau hendak letak kicap manis)

Cara membuatnya

1- Tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk sehingga naik bau. Kemudian, masukkan sardin. (Bagi yang tumbuk bawang dan sardin secara berasingan).

2- Masukkan cili kering, sos cili dan garam secukupnya.

3- Masukkan nasi. Selepas itu, masukkan sayur (kalau hendak masukkan sayur dahulu pun O.K.).

4- Akhir sekali, masukkan kicap dan... Siap.

Muthiah : Sedap tetapi jarang-jarang buat...

Monday, June 21, 2010

Ayam masak stim


Satu lagi masakan yang mudah dibuat dan tidak memerlukan banyak bahan.

Bahan-bahan

Ayam dibelah mengikut citarasa (jangan terlalu kecil) - gaulkan ayam dengan sedikit garam dan sos tiram (kalau hendak pedas, tambahlah lada hitam yang siap ditumbuk)
Halia - dihiris (hendak tumbuk sedikit pun O.K.)
Kentang - dibelah empat

Cara membuatnya

1- Letakkan semua bahan di atas ke dalam loyang.

2- Kemudian, kukuskan.

Muthiah : Sebenarnya, ada satu lagi cara tetapi kena dapatkan daripada Mama dahulu. Tungguuuuu..

** Pada gambar, ayam kecil sebab stock sudah habis (penghabisan stock). Kentang pun sudah habis, jadi Muthiah masukkan apa yang ada). Huhu...

Monday, June 14, 2010

Bayam masak air (kosong)


Bahan-bahan

1 ikat bayam hijau
Lobak, tomato - dipotong
Bawang pitih, bawang merah, bawang besar - dihiris
Ikan bilis, lada hitam - ditumbuk (tidak terlalu lumat)
Kalau hendak letak fishball pun, OK
Garam secukup rasa

Cara membuatnya

1- Masukkan semua bahan sayur ke dalam periuk yang berisi air.

2- Setelah mendidih, masukkan bayam, lobak dan tomato. Siap...

Muthiah : Menu yang baik untuk kesihatan. Kalau tidak letak ikan bilis lagi baik. Hehe...

Monday, June 7, 2010

Sambal kicap sempoi


Sambal ini sedap dimakan dengan makanan segera seperti bihun/ mee/ nasi goreng. Mudah bangat tetapi bisa membangkitkan selesa.

Bahan-bahan

Kicap
Cili api

Cara membuatnya

1- Tumbuk cili api sambal lumat.

2- Campur dengan kicap (Muthiah gemar guna kicap Kipas Udang).

Muthiah : Belajar daripada rakan sekerja suami.

Monday, May 31, 2010

Ikan bawal masak pedas


Assalammualaikum. Here we are… hehe… makanan kegemaran versi cincai-cincai Muthiah.

Bahan-bahan

1 ekor ikan bawal – letak kunyit dan garam
Bawang merah, bawang putih, cili api, halia – ditumbuk
Bawang besar - dimayang
Cili kering – dikisar
Sos cili
Cili merah, tomato, kacang buncis, lobak merah, petai – dihiris (hiasan) – tidak mahu letak pun tidak apa.

Cara membuatnya

1- Goreng ikan dengan minyak panas. Kemudian, letakkan ke tepi.

2- Tumis bawang yang ditumbuk dan dimayang sehingga naik bau.

3- Masukkan cili kering, sos cili, gula dan garam sekaligus. Kalau hendak letak air, boleh tetapi jangan banyak sangat. Nanti, kehangatannya tidak terasa :)

4- Masukkan bahan-bahan hiasan. Selepas itu, terus masukkan ikan bawal. Sedap walaupun sedikit pedas.

Muthiah : Masa Muthiah kecil-kecil, arwah mama selalu buat masak ikan bawal. Sekarang, sudah bergelar isteri. Setiap minggu makan ikan bawal ;)

Monday, May 24, 2010

Taugeh goreng


Bahan-bahan

Taugeh
Bawang putih, bawang besar – dihiris
Lobak, cili merah – dihiris
Kucai, sawi
Tomato – dibelah 4/ 6
Garam secukup rasa
Boleh juga letak fishball/ fishcake….

Cara membuatnya

1- Tumis bawang sehingga naik bau.

2- Bagi yang hendak letak fishball/ fishcake, masukkannya ke dalam kuali setelah bawang naik bau/ kekuningan.

3- Masukkan semua bahan di atas sekaligus dan tambah sedikit air (jika mahu).

4- Akhir sekali, masukkan garam. Siap…

Muthiah : Ada satu lagi menu taugeh yakni taugeh masak lemak tetapi… hmmm… lama sudah Muthiah tidak buat. Insya-Allah, lain kali Muthiah kongsi.

Monday, May 17, 2010

Goreng buncis masak telur


Bahan-bahan

Kacang buncis, lobak, cili, tomato – dipotong
Bawang putih, bawang besar – dihiris
1 biji telur
Garam secukup rasa

Cara membuatnya

1- Tumis bahan dihiris sehingga naik bau.

2- Masukkan sayur-sayuran yang siap dipotong. Kemudian, letakkan sedikit garam. Bagi yang hendak letak lada hitam yang siap ditumbuk pun, OK juga.

3- Akhir sekali, masukkan telur. Kacau dan siap…

Muthiah : Hmmmm…. bilalah agaknya Muthiah hendak berkongsi menu masak gulai pula? Tungguuuuuuu…

Monday, May 10, 2010

Ayam masak kicap


Alahai, masa suntuk. Jam 7.30 pagi nanti, suami hendak ke tempat kerja. Sempat atau tidak??? Jangan gusar. Ada menu yang boleh disiapkan dalam tempoh yang tidak lama.

Bahan-bahan

Ayam – gaul dengan kunyit dan garam
Bawang besar, bawang merah, bawang putih, halia – dihiris
Cili merah – dihiris serong
Kicap Kipas Udang

Cara membuatnya

1- Mula-mula, goreng ayam. Siap… letakkan ke tepi.

2- Selepas itu, tumis bahan-bahan dihiris sehingga naik bau.

3- Kemudian, masukkan ayam yang siap digoreng tadi berserta dengan kicap serta cili merah. Dan…. Siap…

Muthiah : Hehe… bekal makan tengah hari suami untuk hari ini ;)

Monday, May 3, 2010

Sambal ikan bilis masak tempoyak


Bahan-bahan

Ikan bilis
Bawang merah, bawang putih, cili api – ditumbuk
Tempoyak
Sedikit gula/ garam

Cara membuatnya

1- Goreng ikan bilis dahulu dan letakkan di tepi.

2- Tumis bawang sehingga naik bau.

3- Kemudian, masukkan tempoyak dengan sedikit air.

4- Kalau hendak letak garam/ gula, silakan. Tidak letak pun apa kerana tempoyak dan ikan bilis sudah sedia masin. Gula pula digunakan untuk mengurangkan pedas.

Muthiah : Kalau tidak ada lauk yang mengujakan, Muthiah akan buat sambal ini… bisa menambah selera.

Monday, April 26, 2010

Sardin tumis


Pertama-tamanya, Muthiah ingin menyeru kepada semua agar mengurangkan pemakanan sardin. Dari apa yang Muthiah baca, sardin tidak cukup baik untuk kesihatan. Kandungan merkurinya agak tinggi. Muthiah? Hmmm… sebenarnya, Muthiah dapat stock sardin yang agak banyak (FOC). Hendak tidak hendak, masaklah juga. Kalau beli… mungkin tidak. Kalau hendak pun… mungkin untuk buat sandwich.

Bahan-bahan

1 tin sardin
Bawang merah, bawang putih, bawang besar, halia – dihiris
Cili kering – dikisar
Sos cili
Cili api (hijau) / cili hijau – dihiris serong (pilih warna hijau agar nampak menarik. Haha)
Garam / gula secukup rasa

Cara membuatnya

1- Tumis bawang sehingga naik bau.

2- Masukkan cili kering, sos cili serta garam/ gula (kalau tidak letak garam/ gula lagi baik).

3- Masukkan sardin.

4- Masukkan cili yang sudah dihiris. Siap…. (Kalau hendak letak kicap manis pun, OK)

Muthiah : Tidak makan sardin.

Monday, April 19, 2010

Telur dadar


Hmmm… Menu mudah tetapi mungkin ada yang tidak membuatnya. Manalah tahu… satu dalam sejuta ;)

Bahan-bahan

Telur
Bawang merah, bawang besar, cili merah, kucai – dihiris
Garam secukup rasa

Cara membuatnya

1- Pecahkan telur ke dalam mangkuk dan masukka bahan-bahan di atas sekaligus.

2- Panaskan sedikit minyak.

3- Kacau telur sampai berbuih dan masukkan terus ke dalam kuali. Siap…

Muthiah : Lazimnya, resipi ini Muthiah buat sebagai menu tambahan sekiranya lauk-pauk yang dibuat sempoi sangat… Hehehe….

Monday, April 12, 2010

Sambal ikan bilis (nasi lemak)


Bahan-bahan

Ikan bilis
Bawang merah, bawang putih, cili api (bagi penggemar masakan pedas) – ditumbuk
Bawang besar - dimayang
Cili kering yang siap dikisar
Sos cili
Garam secukup rasa (tidak mahu letak pun, tidak apa – sos dan ikan bilis sudah terasa masin)
Gula secukup rasa (tidak mahu letak pun tidak apa – letak untuk kurangkan kepedasan)

Cara membuatnya

1- Goreng ikan bilis dengan minyak panas. Siap… letakkan ke tepi.

2- Tumis bahan siap ditumbuk dengan bawang besar sehingga naik bau.

3- Masukkan cili kering, sos cili, garam serta gula. Kalau hendak berkuah, letakkan sedikit air. Dan… siap.

Muthiah : Kadar kolesterol pada masakan nasi lemak agak tinggi. Jadi, elakkan daripada memilih nasi lemak sebagai menu utama setiap hari. Kadang-kadang, OK :)

Monday, April 5, 2010

Nasi Lemak (nasi)


Bahan-bahan

Beras
Bawang merah – dihiris
Sedikit minyak (boleh juga guna mentega)
Sedikit garam
Kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih
Biasanya, orang guna santan. Namun, Muthiah selalu buat nasi lemak tanpa santan.

Cara membuatnya


1- Basuh beras dan letakkan air secukupnya. Kemudian, panaskan di atas dapur/ rice cooker.

2- Dalam masa yang sama, masukkan bahan-bahan di atas sekaligus.

Bagi yang hendak guna santan, boleh ganti air pada arahan (1) tadi dengan santan. Sedap… berlemak tetapi tidak cukup baik untuk kesihatan.

Lain-lain

1- Telur rebus – dibelah 2 atau 4

2- Timun batang – dipotong serong

Durasi penyediaan– 15 – 20 minit (termasuk penyediaan sambal ikan bilis)

Muthiah : Kadang-kadang, Muthiah bekalkan suami dengan nasi lemak. Maklumlah, penyediaannya mudah.

Monday, March 29, 2010

Sup ayam (Nasi ayam)


Assalammualaikum. Hmmm… baru-baru ini, Muthiah ada berkongsi resipi sup kosong, bukan? Insya-Allah, kali ini kita ‘upgrade’ sup berkenaan. Alhamdulillah, suami suka. Siap cadang buka kedai lagi ;)

Bahan-bahan

Air rebusan bersama-sama dengan ayam yang sudah dipotong kecil. Sewaktu merebus, bolehlah letak sup bunjut serta ubi kentang terus.
Bawang putih, bawang merah, halia – dihiris halus.
Tomato – dibelah 4
Cili merah – dipotong serong
Garam secukup rasa
Lada sulah (kalau tidak mahu letak pun, OK)
Daun sup dan daun bawang

Cara membuatnya

1- Masukkan bawang yang sudah dihiris ke dalam air rebusan ayam (tidak perlu letak minyak).

2- Setelah menggelegak, masukkan tomato, cili merah, lada sulah serta garam. Tunggu seketika.

3- Kemudian, bolehlah angkat dan taburkan daun sup serta daun bawang di atasnya. Kalau hendak sedap lagi, taburkan juga bawang goreng. Siap…

Muthiah : Mudah, bukan?

Monday, March 22, 2010

Ayam goreng (nasi ayam)



Bahan-bahan

Ayam yang siap direbus - ditos
Bawang putih, halia, garam, lada hitam - ditumbuk (jangan lumat sangat)
Sos tiram (boleh juga hendak tambah kicap)


Cara membuatnya

1- Gaul ayam dengan semua bahan di atas. Perap seketika (makin lama, makin sodap).

2- Goreng dengan api sederhana. Dan... Siap....

Oleh sebab ayam sudah masak, tidak perlu goreng garing sangat... Lagi, boleh letak kicap cair atas ayam yang siap digoreng (Muthiah tidak letak sebab suami tidak suka kicap cair).

Tambahan

Hias nasi ayam dengan salad, tomato dan timun.

Muthiah : Suke.. suke...

Monday, March 15, 2010

Sambal (nasi ayam)


Bahan-bahan

1-2 tangkai cili merah
Bawang putih
1 hiris halia (sedikit maaa)
Cuka
Gula

Cara membuatnya

1- Tumbuk/ blender cili merah bersama dengan bawang putih dan halia

2- Kemudian, masukkan cuka dan gula... Siap...

Muthiah : Hmmm... Insya-Allah, petang ini iftar dengan nasi ayam.

Monday, March 8, 2010

Sup kosong (nasi ayam)


Hmmm... ini...yang betul-betul kosong punya sup. Kalau hendak buat yang beria, lain kali Muthiah kongsi, insya-Allah.

Bahan-bahan

Air rebusan ayam
Bawang putih, bawang merah, halia - dihiris
Lada sulah
Garam secukup rasa

Cara membuatnya

1- Masukkan semua bahan di atas ke dalam air rebusan ayam. Dan... siap...

Kalau hendak nampak menarik... letakkan sekali daun sup, daun bawang dan cili.


Muthiah : Selamat mencuba.

Monday, March 1, 2010

Nasi Ayam (nasi)


Hmmmm... salah satu resipi yang mudah dibuat. Jom cuba. Muthiah buat...suami suka..hehe..Alhamdulillah.

Bahan-bahan

Beras
Air rebusan ayam
Bawang merah, bawang putih, halia - dihiris nipis
Bunga cengkih, kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga (A)
Garam sedikit

Cara membuatnya

1- Tumis bawang serta bahan (A) dengan mentega sampai naik bau.

2- Masukkan air rebusan ayam ke dalam beras yang siap dibersihkan. Kemudian, tunggu sebentar (biar sejuk sedikit). Seterusnya, bolehlah letak di atas dapur. Bagi yang guna rice cooker, on ajaaaa...

3- Selepas itu, masukkan bahan-bahan yang siap ditumis bersama sedikit garam.

Muthiah : Ada juga cara lain untuk buat nasi ayam tetapi buat masa ini, Muthiah kongsi cara ini, ya :)

Monday, February 22, 2010

Telur gulai kuning


Bagi yang hendak berkahwin dengan orang pantai Timur... jeng jeng jeng... Ketahuilah bahawa ini adalah salah satu menu kegemaran mereka. Betul????

Bahan-bahan

Bawang putih, bawang merah, lengkuas, kunyit hidup - diblender (hendak pedas, letaklah cili api)
Asam keping
Garam secukup rasa
Santan
Timun batang, cili
Telur

Cara membuatnya

1- Letakkan bahan yang siap diblender di dalam periuk. Kemudian, masukkan timun batang, cili, asam keping sekaligus.

2- Apabila sudah menggelegak sedikit, masukkan santan dan garam.

3- Akhir sekali, letaklah telur. Ada yang pecahkan dahulu ke dalam mangkuk, kemudian, baru masukkan ke dalam periuk tetapi ada juga yang terus pecahkan telur ke dalam periuk. Terpulang, mengikut citarasa masing-masing.

Muthiah : Kali ini, Muthiah buat cair punya menu... Kalau pekat lagi best (hehe... terlupa, santan habis)...

Wednesday, February 17, 2010

Nasi ayam...


Kalau rasa malas hendak masak...masaklah nasi ayam...siapkan nasi, ayam, sup dan sambal sahaja... sayur tidak perlu masak...

Monday, February 15, 2010

Bendi Goreng (mudah)


Hehe.. Asyik resipi mudah sahaja. Ada yang komplikated tetapi... better kita berkongsi yang mudah-mudah dahulu. Maklumlah, banyak di kalangan kita wanita yang berkarier.

Bahan-bahan

Kacang bendi dipotong serong
Bawang putih dan bawang besar -dihiris
Cili - dipotong serong
Fish ball
Sos tiram @ garam secukup rasa

Cara membuatnya

1- Tumis bawang sehingga naik bau.

2- Masukkan fishball.

3- Letak sos tiram @ garam (pilih salah satu). Kemudian, masukkan air sedikit.

4- Akhir sekali, masukkan bendi bersama dengan cili dan tomato. Siap....

Muthiah : Ada satu lagi menu bendi yakni bendi masak telur. Lain kali, Muthiah share, insya-Allah.

Monday, February 8, 2010

Bihun goreng


Bahan-bahan

Bihun - direndam dalam air suam (jangan guna air panas. Takut bihun kembang)
Bawang putih, bawang merah, cili api (dalam 2 tangkai) dan ikan bilis - ditumbuk (kalau tidak mahu letak ikan bilis pun, tidak apa)
Ayam/ fishball/ fishcake/ udang/ sotong/ daging - dipotong
Lada kering yang siap dikisar
Sos cili
Sos tiram
Sawi, taugeh, tomato, cili
Garam sedikit
Kicap (Muthiah guna kicap kipas udang)

Cara membuatnya

1- Tumis bahan-bahan yang ditumbuk sehingga naik bau.

2- Masukkan ayam (serta 'teman-teman' yang seangkatan dengannya).

3- Kemudian, baru masukkan cili kering, sos cili, sos tiram serta garam secukup rasa. Mami (ibu angkat Muthiah) pesan... masukkan bahan-bahan ini sekaligus. Selepas itu, tambah air mengikut kesesuaian.

4- Masukkan sayur, disusuli dengan bihun yang siap direndam tadi. Kacau sehingga rata. Selepas itu, letaklah kicap. Siapppp...

Untuk hiasan, boleh letak daun sup, daun bawang serta timun. Hendak tabur telur yang sudah dihiris pun OK. Sedap....

Tambahan : Kalau hendak buat pencecah mudah... Gampurkan cili api yang sudah ditumbuk ke dalam kicap.

Muthiah : Suami suka, isteri GUMBIRA...

Monday, February 1, 2010

Ikan singgang


Bahan-bahan

1 ekor ikan tongkol
Bawang putih serta lengkuas (dihiris halus)
1 biji kacang bendi (hendak potong 2 pun tidak apa… tidak mahu potong pun tidak apa)
1 @ 2 keping asam gelugur (dikenali juga dengan nama asam keeping)
Cili api
Budu (huhu… Muthiah tidak letak budu sebab stock budu sudah habis)
Garam secukup rasa

Cara membuatnya

1- Letak air di dalam periuk dan masukkan semua bahan di atas sekaligus (kecuali garam, asam keping dan budu).

2- Setelah menggelegak, masukkan garam, asam keping serta budu. Siap….

Muthiah : Sejak Muthiah berpindah ke Terengganu, masakan ikan singgang adalah salah satu menu kegemaran Muthiah.